SIAPALAH AKU TANPA MEREKA..

SUDI-SUDILAH KLIK DAN TINGGALKAN LINK KAT SINI..

Isnin, 19 Disember 2011

Nasi, ubi dan ambuyat... dalam kenangan.




"Unga... kanapa juga ko nda mo makan ni? Tadi bilang lapar.." Seorang atuk bertanya pada cucunya yang sedang merenung nasi di dalam pinggan.

"Ntah... macam nda lapar pula. Sia makanlah nanti kalau sia lapar" Si cucu memberi dalih.

"Ko nda lapar atau ko nda mo makan tu nasi abis dikasi campur sama ubi?" Si atuk menyindir. Cucu kesayangan atuk hanya mengangkat bahu tanpa memberikan jawapan. Sebenarnya dia sudah bosan makan nasi yang ditanak bersama ubi bagi menjimatkan beras memandangkan kehidupan mereka yang agak kesempitan.

"Bha.. apa bulih buat kalau ko nda mo makan. Kalau perang, ko lah yang mati kalau ko memilih makan mcm ni" Si atuk berleter. 

"Ko sikullah tinggi-tinggi... cari karaja yang bagus supaya ko banyak duit. Ndalahlah ko makan nasi yang dikasi campur ubi macam ni" Si atuk menyambung dan hari itu si cucu nekad tidak mahu makan kerana tekaknya sudah tidak boleh menerima nasi yang ditanak bersama ubi.

 Hidup ketika itu bergelumang dengan kesempitan... Hanya satu pot nasi yang digunakan kemudian dicampur dengan ubi keledek, ubi keladi dan ubi kayu... tujuannya untuk berjimat memandangkan padi yang banyak akan dijual untuk membeli keperluan yang lain.... itupun adakala tidak mencukupi... dan terpaksalah mereka makan ambuyat. Lagilah tekak si cucu tidak boleh menerimanya.



----------------------------#################----------------------------

Ama.... Kini aku sudah berkerjaya dan alhamdulilah.... aku sudah tidak perlu makan nasi yang dicampur dengan ubi atau makan ambuyat lagi tapi........... Ama dan Ina sudah pergi sebelum sempat melihat aku berdiri...... Sebelum sempat melihat aku mengapai impian..... Sebelum sempat aku menjaga Ama dan Ina sebagaimana Ama dan Ina menjagaku..... Ampunilah cucu Ama dan Ina ini yang dahulu tidak pernah mengerti..... aku rindu pada Ama dan Ina... pada rasa nasi yang dicampur ubi dan ambuyat.... Semoga Allah pelihara kalian di sana.


Khamis, 15 Disember 2011

KELENTONG SEORANG ANAK.....





Satu petang ... Si ayah yang suka memberikan soalan teka-teki memanggil anak bongsunya.

Si Ayah : Aky.. apa benda ni, banyak manapun kita tuang air dalam bekas ni, 
                    airnya banyak tu jugak dan tak akan melimpah? Magikkan?

Si Anak : Mmmmmmmm.... ( Si anak cuba memikirkan jawapannya ) Satu lori  
                    air pun x penuh ke ayah?

Si Ayah : Pun x penuh....

Si Anak : Apa ye... Itu mmg magik! ( Si anak mengerutkan dahinya sambil 
                   menggaru-garu perutnya ) Ayah kelentong nie....

Si Ayah :Idok eh!  Kalau Aky boleh jawab, nanti ayah beri seringgit.

Si Anak : Ala... kedekut bebenor.. Biar betik ayah! Seringgit nak beli apa?

Si Ayah : Okaylah... ayah bagi RM2.

Si Anak : Bekas yg kita tuang...bla...bla... ( Si anak mengulang-ulang soalan 
                    tersebut. Berusaha mencari jawapannya ) Ntahlah ayah... tak tau 
                   Aky. ( Si anak seperti berputus asa ). Pelik nor pun teka-tekinye..

Si Ayah : Ala... Aky fikirlah. Aky kan bijak...

Si Anak : Hah! Aky tahu... Tangki air yang bocor! Betul tak ayah?

Si Ayah : (Sambil tersenyum) Salah! Kalau bocor tak adalah langsung airnya
                    
Si Anak : Ada ayah... kalau bocor kat atas, kat bawah ada gak airnya. ( Si 
                   anak menerangkan bersungguh-sungguh )

Si Ayah : Okay... tapi kalau tuang air banyak, melimpah gak kan?

Si Anak : Ha ahlah! Ala ayah ni mesti nak kenakan Aky jer... ntah pa pe teka-
                    teki gitu. Pelik nor bunyinye...

Si Ayah : Hahahahaha... Apa yg peliknye... Ayah tambah ganjarannya.. 
                    RM10.

Si Anak : Ala ayah ni! Mentang-mentanglah Aky tak tahu jwpnnya. ( Si anak 
                   seakan merajuk ) Huh! Aky nak ke tandas lu... cari ilham... ( Si ayah 
                   tersenyum melihat gelagat anaknya )

Beberapa minit kemudian... Si anak keluar dari tandas.

Si Anak : Ayah.... Aky tahu da jwpnnya. Gerenti betul punya... Aky mmg super                         
                    bijaksana.

Si Ayah : Apa jawapannya? Perasan... hihihihi.

Si Anak : RM10 taw... ayah jgn tipu. ( Si Anak tersenyum penuh yakin )

Si Ayah : ( Mencapai dompet dan mengeluarkan not RM10 ) Ni duitnya. Ayah 
                    tak tipu... ( Si Ayah juga yakin jwpn anaknya tu nanti pasti salah )

Si Anak : Hek eleh... kacang rebus jer senangnya... Mangkuk tandas.... hihihi.

Si Ayah terkedu. Tidak menyangka anaknya dapat menjawab teka-teki tersebut. Si anak... mengambil not RM10 sambil menari-nari keriangan. Si ibu yang sedang menyediakan minuman petang tersenyum sendiri dgn kenakalan anak bongsunya. Kebetulan.... Si ibu sebenarnya telahpun memberikan teka-teki tersebut kepada anak kecil itu semalam dan telahpun memberikan jawapannya setelah si anak tidak berjaya memberikan jawapan yg tepat. 



Selasa, 13 Disember 2011

SEMALAM YANG KUTINGGALKAN....

Semalam yang kutinggalkan..
Aku mengawas STPM  bagi menggantikan kawan yang tidak dapat hadir menjalankan tugas kerana hal yang tidak dapat dielakkan. 
Huh! Mengantuknya!!!!!

Nak hilangkan rasa ngantuk yang dah tahap gorila... Akupun keluar ke balkoni... Sambil memerhati gelagat sekumpulan pelajar yang sedang leka bermain bola tampar. Teringat zaman persekolahanku - 1986 - SMK Badin Tuaran, Sabah - Tingkatan 2 Melur. Tiba2 rindu bersarang... Mereka teman2 yg hebat....


Jejak kasut ( istilah yang dipinjamkan daripada Tuty Ismail Ahoi ) menerusi FB sejak April, 2011 dan akhirnya... reunion berjaya diadakan pada 26hb. November, 2011. Waaaaaaaaaaaaa!!!!! aku pula x dapat hadir.





Walaupun tidak hadir bersama... Sekurang-kurangnya usaha menjejaki mereka berjaya!!!
Tahniah kepada barisan AJK Reunion yang diketuai oleh:

En. Ramli Maderaman ( Pengerusi )


dan Madam Lebiah Tang ( Setiausaha )


Tahniah! Tahniah! Semoga 2nd reunion dapat dilaksanakan.

LEMBAYUNG SENJA

Semilir berlalu membawa khabar..
Katanya hari sudah semakin tua
Lembayung jua sudah merangkak pergi
perlahan...
dan di situ aku temui kamu
berdiri dipucuk angsana
melihat ombak yang berlari
seakan menghala ke lautan luas
melihat jauh ke dasar kenangan
kau menyapaku..
kau memimpin tanganku..
kita terbang di balik masa
menyudahkan lakaran jiwa..
antara kau dan aku
kini kita bahagia...
bisa tersenyum menyapa kenangan

Ahad, 11 Disember 2011

MATI ITU SATU KEMESTIAN....



"Mati itu Satu Kemestian". Tajuk ceramah Ustaz Shukri bin Mat semalam semasa menghadiri Kursus Pengurusan Jenazah. Dan.... dalam jam 10 pagi tadi, aku dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang kenalanku dan suami semasa di UKM dahulu. Perginya secara mengejut.... bagai disentap, direntap dari pangkuan keluarganya. Aku seperti tidak percaya ketika suami menghubungiku kerana baru Jumaat lepas dia dan suamiku ber'sms'...... berbincang, bercerita  tentang rancangan mereka untuk mengadakan percutian keluarga di Bukit Merah, Perak bersama beberapa rakan suami semasa di UKM dahulu. Menurut cerita yg didengar, selapas itulah dia rebah dan kemudiannya dihantar ke hospital. Namun malaikat Izrail telah mengambil rohnya semasa dalam perjalanan.

Tanpa aku sedar.... air mata ini hadir lagi. Betapa Allah itu Maha Mengetahui segalanya, betapa Allah Maha Penyayang kepada umatnya..... Aku yang terlupa bahawa aku cuma meminjam nyawa yang berharga ini dari Allah ketika mana aku dilahirkan ke dunia dahulu. Allah telah memberikan aku hidayahNya dengan memilih jalan yang benar 24 tahun yang lalu tapi aku mensia-siakankan semuanya demi mengejar duniawi. Ternyata aku umatnya yang tamak.... Ya Allah! Terima kasih kerana hidayahMu.... Syukurku atas kasih dan sayang yang KAU limpahkan kepadaku selama ini.

Kesedihan hari ini.... atas pemergian seorang teman memberikan aku sedikit kesedaran. Namun aku insanMu yang lemah Ya Allah.... Pimpinlah aku! Berikanlah aku hidayahMu... Berilah hidayahMu kepada umatMu yang semakin lalai mengejar asyiknya duniawi. Aku tidak mampu mengharungi lautan kehidupan yang bergelora tanpa pelampung iman. Aku tidak berdaya merentasi gurun kehidupan yang sering dilanda ribut dugaan tanpa manisnya agamaMu. Dan.... aku tidak mampu mendiami dunia kehidupan yang penuh dengan arus kelekaan tanpa petunjukMu... Amin.

Semoga roh kenalanku yang telah menerima jemputan Allah itu ditempatkan dalam kalangan mereka yang diampuni. Al-Fatihah...

Khamis, 8 Disember 2011

" Teacher, saya dah tak ada mak.........."

Setelah lama menyepi dari dunia blog... Hari ini aku disapa seorang teman blogger di FBku. Ternyata sudah hampir setahun aku tidak menulis sejak ibu sakit tahun lalu. Alhamdulilah.... kini ibu sudah sihat dan aku sudah mampu tersenyum kembali. Tiba-tiba hati melonjak-lonjak mahu menulis semula. Terima kasih kepada adikku emme ......kerana dia, aku teringin menjenguk kembali blog yang sudah lama sunyi tanpa tuan rumahnya ini.


Kali ini aku berkongsi cerita tentang salah seorang anak muridku.... dan antara yang paling rapat denganku. Dia seorang pelajar yang baik.... tidak pernah menolak sekiranya aku meminta pertolongannya. Dan.... aku juga tahu dia seorang anak yang baik. Dia sepertiku.... diduga dengan dugaan yang begitu besar cuma bezanya.... Dia diduga ketika usia masih terlalu muda. Ibunya menghidapi kanser saraf.... 

Adakala dia tidak hadir ke sekolah dan aku sebagai guru kelasnya tidak pernah bertanya kerana aku tahu.... dia pasti menjaga ibunya. Pun begitu... dia tidak pernah mengabaikan pelajarannya. Dalam lembut wajahnya aku tahu tersembunyi perasaan yang sukar dimengertikan oleh mereka di luar sana. Terserlah kematangan diusia yang masih terlalu muda... Dalam diam, aku bersimpati dengannya kerana aku tahu celarunya perasaan yang ditanggung.

Satu petang baru-baru ini, telefon bimbitku bergetar. Ada mesej masuk.... Aku sedang memandu ke Kelas Fardu Ain ketika itu ( Kelas yang disediakan oleh pihak PAID khas untuk saudara-saudara baru sepertiku mendalami Islam... ). Sebaik sahaja aku sampai ke destinasi... Aku mencapai telefon bimbitku. Sebaris ayat yang menyentap naluriku... "Teacher, mak saya sedang nazak". Tiba-tiba kelopak mataku terasa panas dan ada air mata yang bergenang. Aku memandang ibuku yang duduk di sebelahku. Aku sudah tidak mampu menahan air mataku daripada gugur. Aku seakan dapat merasakan kepedihannya.


Dengan terketar-ketar... aku memicit button telefon bimbitku memintanya supaya bersabar. Aku ingin terus menghubunginya tapi aku takut aku tidak mampu menahan perasaan dan nanti dia akan lebih terasa kesedihannya. Aku berada di dalam kelas tapi hatiku tidak tenteram. Sesekali aku menjeling telefon bimbitku. Ketika ustaz memberi penerangan tentang ilmu Kalam... telefon bimbitku bergetar. Cepat-cepat aku mencapainya. Membuka mesej yang sampai. "Teacher, saya dah x ada mak". Aku terus keluar. Air mataku mengalir deras. Aku menghubunginya tapi tidak disambut. Aku menghantar mesej. Aku pasti dia keseorangan ketika ini. Aku tahu dia perlukan seseorang ketika ini. Aku tahu dia mencari tempat untuk berkongsi kesedihan dan menangis bersamanya.

Aku cuba menghubunginya sekali lagi. Di hujung talian hanya kedengaran esak tangis yang merobek perasaan keibuanku. Aku memujuknya agar meredhakan segalanya. Aku tahu dia kesedihan. Aku tahu dia kepedihan. Aku tahu dia kesakitan. Aku juga tahu pasti ada kerinduan di hatinya. Ya Allah! Berilah dia kekuatan agar dapat menempuh segala dugaan ini dengan tenang. Semoga Allah menempatkan ibunya dalam kalangan yang diampuni. Amin.


LIKE DISINI

Layout