SIAPALAH AKU TANPA MEREKA..

SUDI-SUDILAH KLIK DAN TINGGALKAN LINK KAT SINI..

Sabtu, 28 April 2012

HINAVA @ HINATA...


Sudah 8 tahun arwah Ama (atuk) meninggalkan kami. Sering kali kerinduan datang bertandang dan ketika itu.... pasti air mata ini jatuh lagi. Semasa kecil dahulu, aku suka makan hinata @ hinava arwah Ama. Bila aku meningkat dewasa, Ama mengajar aku bagaimana membuat hinata. Alhamdulilah, sehingga kini aku masih menggemari masakan ini biarpun sudah 19 tahun aku menetap di semenanjung. 

Hinata @ hinava merupakan masakan tradisional masyarakat Dusun Kadazan, Sabah. Hinata @ hinava ini dibuat daripada isi ikan tenggiri atau ikan pari. Tapi aku selalunya menggunakan ikan tenggiri kerana isinya yang lembut. Makanan kegemaranku dan tersimpan kenangan bersama masakan ini....



Isnin, 16 April 2012

AJAL KERANA SESIKAT PISANG...

Semasa dlm perjalanan pulang dari Manjung pada 17hb Februari yang lepas, bangkai seekor monyet di tengah-tengah jalan yang masih kejap memegang sebiji pisang menarik perhatianku.Tiba-tiba aku teringat pada cerita seorang rakan semasa zaman belajar dahulu. 

Suatu petang, ibunya terjerit-jerit di dapur kerana terkejut dengan kehadiran seekor monyet yang menyelongkar dapur rumahnya di kampung. Monyet itu cuba melarikan diri ketika menyedari dirinya terancam tetapi sempat membawa sesikat pisang emas yang kebetulan diletakkan di atas meja makan . Ayah rakanku begitu pantas mencapai senapang patahnya dan menembak ke arah monyet tersebut. Bang!! senapang memuntahkan peluru tepat pada sasarannya. 

Monyet itu menjerit kesakitan tapi masih cuba bergerak menuju ke sepohon pokok durian tidak jauh dari rumahnya. Monyet itu masih tidak melepaskan sesikat pisang yang dipegangnya. Rakanku yang dari tadi memerhati gelagat monyet tersebut bergegas menuruni anak tangga kerana mahu melihat keadaan monyet itu dari dekat. Ternyata monyet itu sudah tidak bernyawa lagi. Ada air jernih membasahi pipi haiwan malang itu dan monyet itu seakan memeluk erat sesikat pisang emas yang dicurinya tadi.


Ketika itu, rakanku terdengar bunyi pelik di sebalik pohon durian yang sebesar pemeluk orang dewasa. Dia melangkah dengan berhati-hati.... mencari bunyi apakah sebenarnya itu?. Alangkah hiba hatinya bila melihat seekor anak monyet yang kelesuan dan kelaparan. Rupanya.... ibu monyet itu mencuri pisang untuk anaknya. Kebetulan, seminggu sebelum itu.... hutan dikaki bukit, dikampung rakanku hangus terbakar. Kemungkinan ibu monyet itu turun ke kampung untuk mendapatkan makanan kerana anaknya kelaparan. Betapa seekor ibu monyet sanggup menggadaikan nyawanya demi kerana anaknya.... 

Malang sungguh nasib anak monyet tersebut... lapar!!!! Anak monyet itu juga sudah kehilangan ibunya.... Bagaimana agaknya perasaan anak monyet itu sekiranya dia tahu kejadian disebaliknya????

Betapa kasih seorang ibu itu terlalu dalam.... Anak-anak mungkin tidak mengerti selagi mereka belum menjadi ibu...














Ahad, 15 April 2012

HILANGLAH PAHITNYA BUNGA BETIK....


Bunga betik biasanya dijadikan ulam tapi ibu kata, bunga betik juga sedap ditumis seperti sayur-sayuran yang lain. Disebabkan rasa pahit bunga betik ni, saya memang tidak pernah terlintas untuk memasaknya sehinggalah ibu menyuarakan keinginannya. 

Maka pagi tadi, saya pergilah ke pasar Sungai Besar bersama ibu. Alhamdulilah.... jumpalah makcik yang jual bunga betik. Rm1 sepinggan kecil. Sayapun beli 2 pinggan. Seumur hidup saya, saya memang tak pernah masak bunga betik. Selalunya saya cuma rebus pucuk betik buat ulam kerana suami saya mengemarinya tapi sejak kebelakangan ni sukar untuk mendapatkan pucuk betik.

Maka ibupun mengajar saya cara memasaknya.
Bunga betik tu dipetik dari tangkainya kemudian direbus bersama pucuk daun Losing ( pokok senduduk ) untuk mengurangkan rasa pahitnya.  Selepas itu ditumis bersama ikan bilis yang ditumbuk kasar. Tada.......!!!!! Jadilah macam pic kat atas tu.
Tiba-tiba terbuka selera untuk mencubanya..... sedap juga dan yang pentingnya... tak pahit seperti yang dijangkakan. 

Ibu kata... baik dimakan oleh mereka yang mengidap penyakit darah tinggi. Terima kasih ibu..... Cuma anak-anak memandangnya dengan rasa pelik...
" Umi, nenek masak apa tu??? Pelik jer rupanye... Boleh makan ke???" Itulah anak-anak zaman moden..... Satu hari nanti, mereka akan tahu juga khasiatnya....

LOSING.....


Setelah sekian lama berhenti menulis, hari ini hati berkobar-kobar mahu menulis.... berkongsi sesuatu dengan pembaca-pembaca di luar sana. Siapa tahu, pokok apa dalam gambar nun kat atas tu? 

Kami di Sabah memanggilnya pokok Losing. Pucuk pokok ni amat mujarab digunakan untuk memberhentikan darah mengalir seperti darah yang keluar dari luka akibat terhiris benda tajam seperti pisau atau parang. Pucuk mudanya dikunyah atau ditumbuk lumat lalu ditampal pada luka yang berdarah. InsyAllah. darah akan berhenti mengalir serta-merta.

Selain itu, pucuk pokok Losing juga boleh digunakan untuk menghilang rasa pahit pada sayur-sayuran seperti peria dan bunga betik. Pucuk muda daun ini direbus bersama peria atau bunga betik sebelum dimasak. Rasa pahit pada peria atau pucuk betik akan hilang. Cubalah....

Daun pokok ini agak kasar dan boleh digunakan untuk mengatasi masalah gigi kuning disebabkan terlalu banyak merokok. Ambil beberapa helai daun tersebut lalu disental pada gigi. Amalkan setiap hari, insyAllah masalah gigi kuning akan berkurangan. Pada zaman dahulu, sebahagian besar kaum wanita masyarakat Dusun mengamalkan makan sirih yang menyebabkan gigi mereka menjadi hitam. Bagi mengatasi masalah ini, mereka menggosok gigi mereka menggunakan daun Losing agar kekal putih seperti biasa.

Buah Losing ini apabila masak akan merekah pada bahagian atas buahnya dan menampakkan isi yang berwarna ungu kebiru-biruan. Semasa zaman kanak-kanak dahulu, kami suka makan isi buah Losing kerana rasanya yang manis.

LIKE DISINI

Layout