SIAPALAH AKU TANPA MEREKA..

SUDI-SUDILAH KLIK DAN TINGGALKAN LINK KAT SINI..

Isnin, 18 April 2011

CINTA LEMBAYUNG SENJA ( PART 2 )

Fazley merenung buku latihan itu seketika dan meletakkannya kembali semula ke dalam laci meja Rohayu. Tiab-tiba hatinya berbunga gembira, mungkin mengharapkan suatu keajaiban berlaku. Bayangan wajah Rohayu sesekali mengusiknya sehinggalah loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu persekolahan hari itu.... Fazley berdoa agar Rohayu cepat sembuh dan kembali ke sekolah. Fazley mahu melihat wajah kesayangannya itu. Fazley berharap agar Rohayu cepat-cepat membaca nukilan hatinya, biarlah Rohayu tahu bahawa ada hati yang sudah terpaut padanya dan yang pasti.... ketika itulah Fazley akan muncul memberi jawapan pada teka-teki tersebut.....meluahkan apa yang tersimpan dalam hatinya selama ini.


"Tapi..... terbukakah hati Rohayu menerimaku? Tidakah tindakanku ini bakal memalukan diriku sendiri dan yang paling menakutkan.... tidakkah tindakanku ini mengundang kebenciannya padaku" Hati Fazley berbisik sendiri. Hatinya mula diamuk kebimbangan dan kegusaran. Kelas 4 Melur lengang namun Fazley masih di situ.... masih termenung. 


"Ley! Kau nak tunggu Ayu kat sini sampai esok ke? Junaidy mematikan lamunannya. Fazley memandang tepat ke muka Junaidy.  Geram sungguh hatinya. Fazley tidak sedar sejak bila Junaidy memerhatikannya. Tanpa sepatah bicara, Fazley bingkas bangun dan menuju ke meja Rohayu. Mencari semula buku latihan Rohayu, menyelak mukasurat yang dicontengnya tadi. Fazley nekad mengoyakkannya. Fazley masih tidak punyai kekuatan untuk berterus-terang tentang perasaannya pada Rohayu. Manalah mungkin Rohayu mahu menerimanya sedangkan Fazley tahu masih ramai pelajar lelaki lain yang memburu cinta Rohayu. Dia hanyalah pemuda kampung yang tidak punya apa-apa. Handsome tidak.... kaya lagilah tidak! Dan satu lagi..... perbezaan bangsa yang sangat ketara antara mereka.


Fazley meneruskan hari-hari yang berikutnya seperti biasa walaupun adakalanya hati Fazley terusik setiap kali terpandang wajah Rohayu. Rohayu hadir ke sekolah setelah tiga hari bercuti sakit. Rohayu kelihatan sedikit cengkung dan dia masih kelihatan lemah. Hati Fazley meronta-ronta untuk bertanyakan khabar pada Rohayu, menunjukkan sikap ambil beratnya pada Rohayu tapi Fazley tidak mampu melawan perasaan segannya. Fazley hanya memandang Rohayu dari kejauhan. Fazley cuba mengukir senyuman ketika Rohayu memandangnya tapi Rohayu tidak pernah membalasnya. Rohayu masih dingin seperti biasa. Adakala terbit jua rasa cemburu pada teman-teman yang lain kerana Rohayu sentiasa bersikap mesra dan begitu rapat dengan mereka jika dibandingkan dengannya.


Fazley cuba mengusik Rohayu bila berkesempatan untuk menyembunyikan perasaannya yang sebenar.... dan seperti biasa, Rohayu hanya tersipu-sipu malu bila diusik... kemudian beredar tanpa sepatahpun perkataan keluar dari bibirnya. Fazley sering berharap agar Rohayu memandangnya dan menunjukkan sedikit reaksi perasaan terhadapnya. Namun harapan tinggal harapan kerana Rohayu seakan-akan enggan merapati dirinya



Selasa, 5 April 2011

CINTA LEMBAYUNG SENJA

    Fazley memerhatikan titis-titis hujan yang jatuh dari cucur atap rumahnya, titisan hujan itu bagai menyegarkan semula cintanya terhadap seseorang yang telah lama berkubur dalam hatinya. Fazley merenung jauh... mengumpul kembali sisa-sisa kenangannya 30 tahun yang lalu, cuba mengimbau setiap detik yang telah lama cuba dilupakannya.  Kenangan yang semakin kabur lantaran kepantasan masa meninggalkannya, tapi masih ada terselit kenangan yang tidak mampu dilupakan. Terbayang seraut wajah yang begitu dirinduinya. Tanpa sedar, air mata Fazley mengalir perlahan membasahi pipinya. Kenangan dan wajah itu mengganggu dirinya sejak beberapa hari yang lalu sehingga meragut keegoannya selama ini. Fazley cuba menepis namun semakin mencuba, kenangan dan bayangan wajah itu semakin kerap menghantuinya.
   Fazley mengelamun.... Fazley seakan melihat dirinya 30 tahun yang lalu. Dia menongkat dagu dengan kedua tangannya sambil memerhati rakan-rakan sekelasnya yang sedang sibuk berbual dan bergurau. Pandangannya  begitu kosong sekali. Mereka  sedang galak bercerita sesama sendiri dan sesekali derai tawa mereka membingitkan telinga. Keriuhan Kelas 4 Melur umpama melodi yang mengusik hatinya yang sedang mencari-cari kalibat seseorang. Fazley mencapai beg galasnya dan mengeluarkan  buku teks sejarah dan meletakkannya di atas meja. Dia kemudian membelek-belek mukasurat dengan cepat namun tiada juga yang menarik perhatiannya. Sejak loceng berdering sebentar tadi dia tidak melihat kalibat Rohayu. Sakitkah dia?? Hati Fazley diasak pelbagai pertanyaan. Tiba-tiba dia merasa terlalu rindu pada senyuman gadis sunti berkulit putih dan pemalu itu.

    Fazley dan teman baiknya Junaidy sering mengambil kesempatan mengusik dan menyakat Rohayu.  Rohayu yang sememangnya pendiam dan pemalu hanya tertunduk malu setiap kali Fazley mengusiknya. Pipi yang melepak putihnya akan bertukar kemerah-merahan menahan rasa malu dan Fazley semakin galak mengusiknya. Jauh di sudut hati Fazley, dia mendambakan cinta gadis tersebut namun sukar baginya untuk melafazkan perasaan itu. Fazley sering mencuri kesempatan untuk bertembung dan bertemu dengan Rohayu namun ada-ada saja yang menghalangnya. Puas Fazley mencari peluang menghampirinya.... namun semakin Fazley cuba menghampiri Ayu, semakin terasa jauh untuk mengapainya. Rohayu tidak pernah memberi ruang kepadanya untuk berterus-terang. Rohayu seperti tidak pernah mengendahkannya.

"Ley.... apa yang kau menungkan tu? Junaidy menepuk bahunya.

" Menung apa pula Jun.... akukan tengah membaca ni... kejap lagi cikgu Aman masuk... Nota dah siap ke? Fazley cuba berdalih.

" Membaca apa.... mata duk lekat kat pintu tu je sejak tadi.... haaaaaaa.... ni mesti tunggu Ayu kan? Junaidy seakan mampu membaca apa yang bersarang di hati Fazley. Fazley cepat-cepat menutup mulut lancang Junaidy. Risau rakan-rakan yang lain mendengarnya.

" Shhhhhhhhh! kau ni..., malulah aku!" Fazley mengerutkan dahinya tanda protes pada tindakan Junaidy sebentar tadi. Junaidy nakal mengusiknya dengan senyuman mengejek.

" Ala... kau tak payah tunggulah. Hari ni Ayu tak datang sekolah. Tadi aku jumpa Maria kat bawah tu, dia kata Rohayu demam." Fazley seakan kecewa. Kerinduannya pada wajah itu tidak akan terubat hari ini. 

" Ayu demam...." Bisik hatinya. Kebimbangan tiba-tiba mengganggu Fazley. Fazley bingkas bangun dan bergerak ke meja Megdeline. Tanpa meminta kebenaran, Fazley duduk di sebelah Megdeline... di kerusi Rohayu. 

" Eh Meg! Ayu demam ke? Teruk ke demamnya? Fazley bertanya. Megdeline seakan terkejut dan hanya menganggukkan kepalanya mengiakan pertanyaan Fazley. Ketika Fazley baru membuka mulutnya untuk bertanya lebih lanjut, Cikgu Aman muncul di muka pintu. Fazley separuh berlari meluru kembali ke mejanya. 

" Kenapalah cikgu ni masuk masa ni...." Getus hati Fazley.

     Sehingga waktu rehat, Fazley masih tidak keruan. Junaidy seakan dapat membaca apa yang sedang berperang di hati teman karibnya itu. Dia menghampiri Fazley dan menasihatkan Fazley supaya berterus terang sahaja tentang perasaannya itu kepada Rohayu. Fazley terdiam seketika. Dia sebenarnya tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk meluahkan isi hatinya.  Tambahan pula, Fazley takut dia hanya bertepuk sebelah tangan... dia takut kehilangan Rohayu sebelum sempat memiliki cintanya. Junaidy memberikan satu cadangan agar Fazley menulis sepucuk surat tanpa nama pada buku latihan Rohayu dan melihat apakah reaksi Rohayu nanti. Fazley tertarik dengan cadangan itu.

Ayu.....
Maafkan aku kerana meluahkan perasaanku dengan cara ini. 
Aku tidak mampu lagi membendung perasaan ini... i love u


( bersambung )




Ahad, 3 April 2011

JANGAN DUGA AKU LAGI.......

Ketika kaki sudah tegap memijak tanah, hati ini kembali berdebar mendengar perkhabaran yang bisa meluluhkan hati seorang perempuan dan air mata pasti akan tumpah lagi.... dahan tempat aku berpaut selama ini tercalar dan berdarah... bahu siapa lagi dapat kupinjam ketika aku mengharungi detik-detik getir dalam hidupku, tangan siapa lagi yang akan mengusap lembut rambutku ketika sebak bergumpal di dada dan siapa lagi yang akan menyapu air mataku ketika aku menangis tanpa penghujung..... Ya Allah! janganlah mendugaku lagi..... selama ini dialah kekuatanku..... selama ini dialah pelindungku..... dan selama ini dialah tempat aku berkongsi setiap kepedihan dan kegembiraan dalam hidupku. Kalau boleh.... biarlah aku mengambil tempatnya..... biarlah aku lalui kesakitan itu asalkan dia terus ceria..... 
Aku tidak mampu meluahkan dengan kata-kata betapa risaunya menghadapi esok yang bakal tiba... aku bakal menginjakkan kaki ke sebuah lagi hospital untuk rawatan lanjutan suamiku sedangkan ibu masih lagi meneruskan rawatannya..... Semoga aku tidak perlu menangis lagi..... Semoga masih ada kekuatan yang tersisa untuk kuhadapi segala kemungkinan.  Ya Allah! Kasihanilah hambaMU ini.... Aku mohon padaMU..... Jangan lagi ada perkhabaran yang lebih buruk yang perlu aku terima...


Rakan-rakan blog yang sudi singgah ke blog CETUSAN SEIKHLAS RASA ini... doakan suamiku agar dia kembali sihat..........

Sabtu, 2 April 2011

AKU KEMBALI....

Setelah sekian lama menyepi daripada dunia blog.... hari ini terpanggil untuk menjenguk lebih lama di blog ini. Sekadar catatan ringkas sebaga permulaan kepada sesuatu yang telah lama bermula.


Alhamdulilah... Setelah tiga kali ibu menjalani rawatan kimoterapi akhirnya bacaan CA 152 ibu turun ke tahap normal iaitu 6.8... Satu perkhabaran yang sangat-sangat mengembirakan. Ibu nampak ceria dan hati seorang anak berbunga kembali. 



Suami dan anak-anak banyak membantuku, memberikan aku kekuatan sepanjang rawatan ibu.... Terima kasih kepada mereka. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sentiasa bertanyakan khabar ibu dan turut memberikan kekuatan kepadaku dalam mengharungi hari-hari yang teramat memedihkan. Semoga Allah memberi yang terbaik kepada kalian semua.




LIKE DISINI

Layout