SIAPALAH AKU TANPA MEREKA..

SUDI-SUDILAH KLIK DAN TINGGALKAN LINK KAT SINI..

Jumaat, 5 Ogos 2011

PANAS SANGAT.... TANPA SEGAN SILU MANDI DI KHALAYAK RAMAI...

Man in a rowing boat floats near a 'mermaid' sculpture created by Oliver Voss on Alster lake in Hamburg

Man looks at a 'mermaid' sculpture created by Oliver Voss in the late evening hours on Alster lake in Hamburg

Patung ikan duyung yang telah dicipta oleh Oliver Voss menarik perhatian ramai pengunjung yang berkunjung ke Alster Lake , Hamburg. Patung "mermaid" atau ikan duyung ini mempunyai ketinggian lebih kurang 4 meter dan akan dipamerkan di tasik tersebut  sehingga 12hb Ogos, 2011 ini.

Mula-mula buka Yahoo mail tadi.... ingatkan ada perempuan nda betul mandi dikhalayak ramai dalam bulan puasa ni.... kut2 x tahan cuaca yang sememangnya panas.... Rupa-rupanya patung gergasi yang dipamerkan untuk menarik perhatian pengunjung..... hihihihi.

Rabu, 3 Ogos 2011

GASTRIK..... DAN PUASA....

Hari ini seorang pelajar datang berjumpa denganku. Pelajar ini mengadu sakit gastrik dan meminta kebenaranku untuk berehat di Bilik Kesihatan. Dia kelihatan pucat dan lesu. Aku sempat bersembang dengan pelajar ini memandangkan jadual mengajarku pada hari Rabu agak lapang berbanding dengan hari-hari lain. Dia memberitahu yang dia telah mengidap gastrik seawal di bangku sekolah rendah dan sering meninggalkan ibadah puasa kerana tidak berdaya.... Aku bersimpati. Doktor telah mengesahkan yang penyakit gastriknya pada tahap yang serius dan dinasihatkan agar tidak memaksa dirinya berpuasa....  Adakala sampai dia terpaksa terlantar di katil hospital untuk beberapa hari....tapi dia tetap mahu berpuasa seperti kawan-kawannya yang lain.... Tiba-tiba hatiku tersentuh..... cekalnya hati pelajarku ini... Sedangkan di luar sana ramai yang berpura-pura sakit hanya kerana tidak tahan berpuasa......
Ketika aku bersiap-siap untuk ke kelas.... Pelajar ini mengajukan beberapa soalan kepadaku.
" Teacher... kalau dalam keadaan saya ni, wajib tak saya membayar fidyah selain daripada menggantikan puasa-puasa saya yang tertinggal?"
Aku terdiam seketika. Sebagai seorang saudara baru, aku bimbang untuk memberikan jawapan. Aku tersenyum dan mengurut belakangnya dengan lembut...
" Nanti teacher tanyakan kepada orang yang lebih arif... dah dapat jawapannya, nanti saya beritahu."
Aku beredar meninggalkan pelajar tersebut setelah menutup kakinya yang sejuk dengan selimut.
Sepanjang perjalanan ke kelas di tingkat 3 bangunan baru.... aku berfikir... pada siapa aku mahu bertanya. Sehingga tamat waktu persekolahan, aku masih tidak sempat mencarikan jawapan bagi soalan pelajar tersebut.
Ketika mengintai-intai blog teman-teman sebelum berbuka tadi, tiba-tiba aku teringat pertanyaan pelajar tersebut. Maka aku klik disini... Alhamdulilah... aku temui jawapannya. 


Apakah wajib bagi seseorang yang mempunyai penyakit gastrik membayar fidyah selain wajib menggantikan puasanya yang tertinggal?

Jawapan.
Mereka yang disahkan oleh doktor mempunyai penyakit gastrik serta tidak mampu meneruskan puasanya, maka dalam keadaan ini seseorang itu di bolehkan berbuka puasa. Bagaimanapun, puasa yang ditinggalkannya itu wajib diganti pada bulan-bulan yang lain tanpa perlu membayar fidyah.
Tetapi sekiranya doktor atau pakar perubatan mengesahkan penyakit gastrik yang dialami boleh membahayakannya atau memudaratkannya, sekiranya dia berpuasa sekalipun di luar bulan Ramadhan maka dia wajib untuk membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkanya. Sebagaimana yang didtetapkan, bilangan fidyah bagi sehari puasa yang ditinggalkan ialah sebanyak secupak beras menyamai 675gram.
Umumnya, pembayaran fidyah tanpa perlu mengqadakan (menggantikan) puasa dikenakan kepada golongan yang mempunyai penyakit yang tiada harapan lagi untuk sembuh serta orang tua yang uzur yang tidak berupaya untuk puasa.
Wallahu A'lam.

Ahad, 31 Julai 2011

Ya Allah.... dah bersawang rupanya blog aku ni...



Tiba-tiba aku kembali di sini... setelah lama menyepi. Bukan tidak rindu untuk menulis tetapi aku tidak mampu menyediakan ruang untuk aku menulis biarpun banyak yang mahu dicatatkan. 


Alhamdulilah... akhirnya pada 23hb. Julai yang lalu segala kerunsingan dan kebimbangan yang bersarang di hati berakhir jua. Aku sudah mampu menarik nafas lega kerana aku tidak perlu lagi berulang dua minggu sekali ke hospital Ipoh untuk rawatan kimoterapi ibu. Bacaan CA 125 ibu sudah di tahap normal iaitu 3.4. Sebagai anak.... tiada kata yang dapat diluahkan hanya air mata kegembiraan yang mengalir deras....


Hospital Ipoh yang mengajar aku erti kecekalan....


Air mataku mengalir tanpa diundang...... Ya Allah, kupanjatkan kesyukuran kepadaMu kerana akhirnya memakbulkan doaku. Ibu kembali sihat cuma perlu menjalani rawatan susulan 3 bulan sekali di hospital Teluk Intan.


Ketika doktor memaklumkan kepadaku yang sel-sel kanser ibu berada pada tahap terkawal, aku memeluk ibu seeratnya dan terasa hangat air mata ibu membasahi bahuku. Aku benar-benar lega dan bersyukur. Kecekalan dan kekuatan ibu memberikan aku semangat untuk terus berada di sisinya di saat-saat dia amat memerlukan teman. 


Terima kasih ya Allah! Sesungguhnya terlalu besar pemberianMu ini kepada insan sekerdil aku. Semoga ibu akan terus sihat dan kembali ceria seperti dahulu. Semoga ibu sihat dan dapat menjalai ibadah puasa sepanjang bulan mulia ini.


SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA RAKAN BLOGER TERUTAMA YANG MENJADI RAKAN KEPADA BLOG "CETUSAN SEIKHLAS RASA". SEMOGA KITA DAPAT MELENGKAPKAN IBADAH PUASA KITA DAN MENDAPAT AKAN KENIKMATAN BULAN YANG DI NANTI-NANTIKAN INI. AMIN....

Sabtu, 28 Mei 2011

BALIK KAMPUNG.....


Setelah sekian lama menyepi dari arena berblog ini, kali ini aku datang kembali..... Setakat berkongsi sedikit kegembiraan. Esok aku dan keluarga bersama ibu akan pulang bercuti ke Sabah. Mengimbau segala kenangan yang telah ditinggalkan di sana, hatiku tiba-tiba jadi sayu dan hiba. Ketibaan kami nanti tidak disambut siapa-siapa kerana kami sudah kehilangan Ama... kehilangan Ina dan juga kehilangan ayah..... Menjenguk rumah di kampung yang sudah lama ditinggalkan.... entah bagaimanalah agaknya keadaan rumah itu?  Pasti terimbau kenangan pahit dan manis yang pernah kami sekeluarga lalui di sana..... rumah di atas tanah pusaka yang cuba dipertahankan dari kejauhan sini....
Adakala aku jadi keliru sendiri, sebenarnya tanah pusaka itu dalam proses untuk dijual kerana tiada siapa yang mengusahakannya mahupun menjaganya memandangkan keluarga kecilku sudah menetap di Sabak Bernam.... tapi tiba-tiba aku bertanya pada diriku, adakah menjual tanah pusaka itu satu langkah yang terbaik sedangkan aku tidak pernah berusaha untuk mengusahakannya.
Maka..... dengan sedikit keberanian, aku cuba mempertahankan tanah itu dan sedang mencari jalan untuk mengusahakannya. Aku tahu.... ibu juga keberatan menjualnya memandangkan kami membesar di tanah pusaka itu... di tanah pusaka itulah terhimpun kenangan bersama arwah Ama, arwah Ina dan arwah ayah yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit. Mungkin keputusanku ini bakal mengundang masalah pada diriku tapi biarlah aku mencuba.... Biar ibu tahu, aku juga sayangkan tanah pusaka tersebut.  Ya Allah! kupohonkan kekuatan dan petunjuk daripadaMU agar aku tidak kecundang dalam memenuhi impian Ibu.....


Isnin, 18 April 2011

CINTA LEMBAYUNG SENJA ( PART 2 )

Fazley merenung buku latihan itu seketika dan meletakkannya kembali semula ke dalam laci meja Rohayu. Tiab-tiba hatinya berbunga gembira, mungkin mengharapkan suatu keajaiban berlaku. Bayangan wajah Rohayu sesekali mengusiknya sehinggalah loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu persekolahan hari itu.... Fazley berdoa agar Rohayu cepat sembuh dan kembali ke sekolah. Fazley mahu melihat wajah kesayangannya itu. Fazley berharap agar Rohayu cepat-cepat membaca nukilan hatinya, biarlah Rohayu tahu bahawa ada hati yang sudah terpaut padanya dan yang pasti.... ketika itulah Fazley akan muncul memberi jawapan pada teka-teki tersebut.....meluahkan apa yang tersimpan dalam hatinya selama ini.


"Tapi..... terbukakah hati Rohayu menerimaku? Tidakah tindakanku ini bakal memalukan diriku sendiri dan yang paling menakutkan.... tidakkah tindakanku ini mengundang kebenciannya padaku" Hati Fazley berbisik sendiri. Hatinya mula diamuk kebimbangan dan kegusaran. Kelas 4 Melur lengang namun Fazley masih di situ.... masih termenung. 


"Ley! Kau nak tunggu Ayu kat sini sampai esok ke? Junaidy mematikan lamunannya. Fazley memandang tepat ke muka Junaidy.  Geram sungguh hatinya. Fazley tidak sedar sejak bila Junaidy memerhatikannya. Tanpa sepatah bicara, Fazley bingkas bangun dan menuju ke meja Rohayu. Mencari semula buku latihan Rohayu, menyelak mukasurat yang dicontengnya tadi. Fazley nekad mengoyakkannya. Fazley masih tidak punyai kekuatan untuk berterus-terang tentang perasaannya pada Rohayu. Manalah mungkin Rohayu mahu menerimanya sedangkan Fazley tahu masih ramai pelajar lelaki lain yang memburu cinta Rohayu. Dia hanyalah pemuda kampung yang tidak punya apa-apa. Handsome tidak.... kaya lagilah tidak! Dan satu lagi..... perbezaan bangsa yang sangat ketara antara mereka.


Fazley meneruskan hari-hari yang berikutnya seperti biasa walaupun adakalanya hati Fazley terusik setiap kali terpandang wajah Rohayu. Rohayu hadir ke sekolah setelah tiga hari bercuti sakit. Rohayu kelihatan sedikit cengkung dan dia masih kelihatan lemah. Hati Fazley meronta-ronta untuk bertanyakan khabar pada Rohayu, menunjukkan sikap ambil beratnya pada Rohayu tapi Fazley tidak mampu melawan perasaan segannya. Fazley hanya memandang Rohayu dari kejauhan. Fazley cuba mengukir senyuman ketika Rohayu memandangnya tapi Rohayu tidak pernah membalasnya. Rohayu masih dingin seperti biasa. Adakala terbit jua rasa cemburu pada teman-teman yang lain kerana Rohayu sentiasa bersikap mesra dan begitu rapat dengan mereka jika dibandingkan dengannya.


Fazley cuba mengusik Rohayu bila berkesempatan untuk menyembunyikan perasaannya yang sebenar.... dan seperti biasa, Rohayu hanya tersipu-sipu malu bila diusik... kemudian beredar tanpa sepatahpun perkataan keluar dari bibirnya. Fazley sering berharap agar Rohayu memandangnya dan menunjukkan sedikit reaksi perasaan terhadapnya. Namun harapan tinggal harapan kerana Rohayu seakan-akan enggan merapati dirinya



LIKE DISINI

Layout