SIAPALAH AKU TANPA MEREKA..

SUDI-SUDILAH KLIK DAN TINGGALKAN LINK KAT SINI..

Selasa, 5 April 2011

CINTA LEMBAYUNG SENJA

    Fazley memerhatikan titis-titis hujan yang jatuh dari cucur atap rumahnya, titisan hujan itu bagai menyegarkan semula cintanya terhadap seseorang yang telah lama berkubur dalam hatinya. Fazley merenung jauh... mengumpul kembali sisa-sisa kenangannya 30 tahun yang lalu, cuba mengimbau setiap detik yang telah lama cuba dilupakannya.  Kenangan yang semakin kabur lantaran kepantasan masa meninggalkannya, tapi masih ada terselit kenangan yang tidak mampu dilupakan. Terbayang seraut wajah yang begitu dirinduinya. Tanpa sedar, air mata Fazley mengalir perlahan membasahi pipinya. Kenangan dan wajah itu mengganggu dirinya sejak beberapa hari yang lalu sehingga meragut keegoannya selama ini. Fazley cuba menepis namun semakin mencuba, kenangan dan bayangan wajah itu semakin kerap menghantuinya.
   Fazley mengelamun.... Fazley seakan melihat dirinya 30 tahun yang lalu. Dia menongkat dagu dengan kedua tangannya sambil memerhati rakan-rakan sekelasnya yang sedang sibuk berbual dan bergurau. Pandangannya  begitu kosong sekali. Mereka  sedang galak bercerita sesama sendiri dan sesekali derai tawa mereka membingitkan telinga. Keriuhan Kelas 4 Melur umpama melodi yang mengusik hatinya yang sedang mencari-cari kalibat seseorang. Fazley mencapai beg galasnya dan mengeluarkan  buku teks sejarah dan meletakkannya di atas meja. Dia kemudian membelek-belek mukasurat dengan cepat namun tiada juga yang menarik perhatiannya. Sejak loceng berdering sebentar tadi dia tidak melihat kalibat Rohayu. Sakitkah dia?? Hati Fazley diasak pelbagai pertanyaan. Tiba-tiba dia merasa terlalu rindu pada senyuman gadis sunti berkulit putih dan pemalu itu.

    Fazley dan teman baiknya Junaidy sering mengambil kesempatan mengusik dan menyakat Rohayu.  Rohayu yang sememangnya pendiam dan pemalu hanya tertunduk malu setiap kali Fazley mengusiknya. Pipi yang melepak putihnya akan bertukar kemerah-merahan menahan rasa malu dan Fazley semakin galak mengusiknya. Jauh di sudut hati Fazley, dia mendambakan cinta gadis tersebut namun sukar baginya untuk melafazkan perasaan itu. Fazley sering mencuri kesempatan untuk bertembung dan bertemu dengan Rohayu namun ada-ada saja yang menghalangnya. Puas Fazley mencari peluang menghampirinya.... namun semakin Fazley cuba menghampiri Ayu, semakin terasa jauh untuk mengapainya. Rohayu tidak pernah memberi ruang kepadanya untuk berterus-terang. Rohayu seperti tidak pernah mengendahkannya.

"Ley.... apa yang kau menungkan tu? Junaidy menepuk bahunya.

" Menung apa pula Jun.... akukan tengah membaca ni... kejap lagi cikgu Aman masuk... Nota dah siap ke? Fazley cuba berdalih.

" Membaca apa.... mata duk lekat kat pintu tu je sejak tadi.... haaaaaaa.... ni mesti tunggu Ayu kan? Junaidy seakan mampu membaca apa yang bersarang di hati Fazley. Fazley cepat-cepat menutup mulut lancang Junaidy. Risau rakan-rakan yang lain mendengarnya.

" Shhhhhhhhh! kau ni..., malulah aku!" Fazley mengerutkan dahinya tanda protes pada tindakan Junaidy sebentar tadi. Junaidy nakal mengusiknya dengan senyuman mengejek.

" Ala... kau tak payah tunggulah. Hari ni Ayu tak datang sekolah. Tadi aku jumpa Maria kat bawah tu, dia kata Rohayu demam." Fazley seakan kecewa. Kerinduannya pada wajah itu tidak akan terubat hari ini. 

" Ayu demam...." Bisik hatinya. Kebimbangan tiba-tiba mengganggu Fazley. Fazley bingkas bangun dan bergerak ke meja Megdeline. Tanpa meminta kebenaran, Fazley duduk di sebelah Megdeline... di kerusi Rohayu. 

" Eh Meg! Ayu demam ke? Teruk ke demamnya? Fazley bertanya. Megdeline seakan terkejut dan hanya menganggukkan kepalanya mengiakan pertanyaan Fazley. Ketika Fazley baru membuka mulutnya untuk bertanya lebih lanjut, Cikgu Aman muncul di muka pintu. Fazley separuh berlari meluru kembali ke mejanya. 

" Kenapalah cikgu ni masuk masa ni...." Getus hati Fazley.

     Sehingga waktu rehat, Fazley masih tidak keruan. Junaidy seakan dapat membaca apa yang sedang berperang di hati teman karibnya itu. Dia menghampiri Fazley dan menasihatkan Fazley supaya berterus terang sahaja tentang perasaannya itu kepada Rohayu. Fazley terdiam seketika. Dia sebenarnya tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk meluahkan isi hatinya.  Tambahan pula, Fazley takut dia hanya bertepuk sebelah tangan... dia takut kehilangan Rohayu sebelum sempat memiliki cintanya. Junaidy memberikan satu cadangan agar Fazley menulis sepucuk surat tanpa nama pada buku latihan Rohayu dan melihat apakah reaksi Rohayu nanti. Fazley tertarik dengan cadangan itu.

Ayu.....
Maafkan aku kerana meluahkan perasaanku dengan cara ini. 
Aku tidak mampu lagi membendung perasaan ini... i love u


( bersambung )




Ahad, 3 April 2011

JANGAN DUGA AKU LAGI.......

Ketika kaki sudah tegap memijak tanah, hati ini kembali berdebar mendengar perkhabaran yang bisa meluluhkan hati seorang perempuan dan air mata pasti akan tumpah lagi.... dahan tempat aku berpaut selama ini tercalar dan berdarah... bahu siapa lagi dapat kupinjam ketika aku mengharungi detik-detik getir dalam hidupku, tangan siapa lagi yang akan mengusap lembut rambutku ketika sebak bergumpal di dada dan siapa lagi yang akan menyapu air mataku ketika aku menangis tanpa penghujung..... Ya Allah! janganlah mendugaku lagi..... selama ini dialah kekuatanku..... selama ini dialah pelindungku..... dan selama ini dialah tempat aku berkongsi setiap kepedihan dan kegembiraan dalam hidupku. Kalau boleh.... biarlah aku mengambil tempatnya..... biarlah aku lalui kesakitan itu asalkan dia terus ceria..... 
Aku tidak mampu meluahkan dengan kata-kata betapa risaunya menghadapi esok yang bakal tiba... aku bakal menginjakkan kaki ke sebuah lagi hospital untuk rawatan lanjutan suamiku sedangkan ibu masih lagi meneruskan rawatannya..... Semoga aku tidak perlu menangis lagi..... Semoga masih ada kekuatan yang tersisa untuk kuhadapi segala kemungkinan.  Ya Allah! Kasihanilah hambaMU ini.... Aku mohon padaMU..... Jangan lagi ada perkhabaran yang lebih buruk yang perlu aku terima...


Rakan-rakan blog yang sudi singgah ke blog CETUSAN SEIKHLAS RASA ini... doakan suamiku agar dia kembali sihat..........

Sabtu, 2 April 2011

AKU KEMBALI....

Setelah sekian lama menyepi daripada dunia blog.... hari ini terpanggil untuk menjenguk lebih lama di blog ini. Sekadar catatan ringkas sebaga permulaan kepada sesuatu yang telah lama bermula.


Alhamdulilah... Setelah tiga kali ibu menjalani rawatan kimoterapi akhirnya bacaan CA 152 ibu turun ke tahap normal iaitu 6.8... Satu perkhabaran yang sangat-sangat mengembirakan. Ibu nampak ceria dan hati seorang anak berbunga kembali. 



Suami dan anak-anak banyak membantuku, memberikan aku kekuatan sepanjang rawatan ibu.... Terima kasih kepada mereka. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sentiasa bertanyakan khabar ibu dan turut memberikan kekuatan kepadaku dalam mengharungi hari-hari yang teramat memedihkan. Semoga Allah memberi yang terbaik kepada kalian semua.




Ahad, 6 Mac 2011

AKU MERINDUIMU.... TEMAN-TEMANKU.



Setelah sekian lama menyepi dari dunia maya..... tiba2 aku dikejutkan dengan kehadiran seorang teman lama yang menyapa fb ku. Aku sangat terkejut dan rasa seperti tidak percaya kerana masa telah lama memisahkan kami semua.... Alhamdulilah..... mereka masih mengingatiku...
dan aku sebenarnya amat merindui mereka....
Terima kasih kepada Ramli Deraman yang bersusah-payah menjejaki teman-teman. Terima kasih kerana masih mengingatiku....
Terima kasih juga pada Lebiah Tang yang masih mesra seperti dahulu...
Terima kasih juga pada Jainisah yang masih mengingati namaku...
Semoga kami berjaya menjejaki yang lain...


Khamis, 3 Februari 2011

HEAD HUNTER DALAM MASYARAKAT SABAH... SEJAUH MANAKAH KEBENARANNYA?





Ketika menjelajah blog teman-teman, terjumpa satu artikel yang menarik berkenaan "head hunter" atau lebih dikenali sebagai "pengait" dalam kalangan masyarakat Sabah.Artikel saudara andnaddin ini membawa saya ke zaman kanak-kanak dahulu. Cerita berkaitan pengait ni merupakan cerita yang begitu popular di beberapa kawasan di Sabah pada ketika itu. Kehadiran pengait masa itu dikaitkan dengan pembinaan jambatan baru di Kg. Labuaya, Tuaran. Kepala manusia kononnya digunakan untuk menjamu semangat sungai agar jambatan tersebut akan kukuh dan tidak menelan nyawa di kemudian hari. Anak-anak sentiasa ditakutkan agar tidak keluar rumah berseorangan dan anak-anak hanya bermain di sekitar rumah sahaja.



Persoalannya, benarkah wujud individu yang dikatakan pengait atau head hunter? Nenek pernah bercerita bahawa kewujudan head hunter itu memang benar kerana nenek mengatakan yang dia sendiri berasal daripada keturunan head hunter. Keturunan nenek mendiami sebuah perkampungan kecil yang di kenali sebagai Kg. Bongol iaitu sebuah perkampungan yang terletak lebih kurang 45 minit perjalanan dari Pekan Tamparuli. Nenek mengatakan yang dia berasal daripada keturunan "Paing" iaitu seorang pahlawan yang perkasa dan digeruni kerana dia akan memenggal kepala musuh-musuhnya. Sejauh manakah kebenarannya tidak dapat dipastikan cuma sewaktu kecil, saya pernah melihat tengkorak-tengkorak kepala digantung di atas loteng rumah pusaka nenek. Walau bagaimanapun, tengkorak-tengkorak itu telah dikebumikan setelah mereka memeluk agama Kristian.

Parang atau juga dikenali sebagai "selasing" kononnya digunakan untuk memenggal kepala-kepala mangsa dan rambut mangsa akan diambil dan diikat pada hulu parang tersebut. Parang ini juga telah dikebumikan bersama tengkorak-tengkorak tersebut kerana menurut abang kepada nenek yang mewarisi rumah pusaka nenek moyang mereka, setelah memeluk agama Kristian, dia sering mendengar bunyi orang bertengkar dari arah loteng dan adakala dia juga diganggu dengan kalibat hitam yang muncul dan hilang sekelip mata. Beliau tidak tahan dengan gangguan sedemikian menyebabkan akhirnya dia mengebumikan tengkorak-tengkorak dan juga parang tersebut sebagaimana yang dinasihatkan oleh orang tertua di kampung mereka.



Kesimpulannya.... individu seumpama ini mungkin pernah wujud kerana ada masyarakat yang masih berpegang pada amalan animisme. Golongan ini percaya bahawa sungai, pokok, bukit, batu dan sebagainya mempunyai semangat dan untuk mencapai keharmonian dalam hidup maka berlakulah pemujaan dan sebagainya yang pastinya akan memakan korban. Apabila masyarakat meninggalkan amalan animisme setelah kedatangan agama Kristian dan agama Islam maka kepercayaan ini semakin pupus, begitu juga dengan individu yang dikatakan sebagai head hunter. 

p/s : gambar ehsan web google

LIKE DISINI

Layout