
APA PENDAPAT ANDA..... ????? YANG MANA AGAKNYA PILIHAN ANDA?????
" Mah gi mandi dulu ye bu." Salmah mencapai tuala yang tersidai dan berlari ke perigi di belakang rumah. Salmah memang suka kalau dapat ikut ayahnya naik basikal. Salmah akan duduk di palang hadapan basikal ayahnya... Ketika menuruni anak tangga, Salmah sempat memberitahu Jamilah yang dia akan pergi ke kampung sebelah malam tu untuk menghadiri kenduri arwah di rumah Pak Anjang. Jamilah tiada pilihan lain.... hatinya masih mahu bermain dengan Salmah tapi.... Salmah dah ke belakang rumah, mandi dan nanti akan ke kampung sebelah bersama ayah dan ibunya. Dengan langkah yang longlai... Jamilah berjalan balik ke rumahnya yang terletak hanya sepelaung dari rumah Salmah.
Selepas solat Maghrib, mereka bergegas bertolak ke Kampung Bakri. Rumah Salmah tidaklah jauh dari rumah Pak Anjang walaupun di kampung yang berlainan. Perjalanan berbasikal hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit sahaja cuma Kampung Bakri terletak jauh sedikit ke dalam.... lebih kurang satu kilometer dari jalanraya. Jalan masuk ke kampung itu pula dikelilingi oleh hutan dan kebun pisang. Sepanjang jalan sempit dicelah-celah semak-samun, pepohon getah dan pisang itu.... adakala amat mengerikan terutama bagi mereka yang jarang lalu di kawasan tersebut. Rasa seram... takut... adakala mencengkam hati mereka yang menggunakan jalan itu terutama apabila melalui satu selekoh tajam yang dihujungnya merupakan tanah perkuburan bagi penduduk kampung tersebut.
Ketika mereka tiba dirumah Pak Anjang.... Mak Anjang dan beberapa orang jiran sedang sibuk menyiapkan hidangan. Ayah bergegas ke surau yang terletak tidak jauh dari rumah Pak Anjang manakala ibu Salmah bergegas ke dapur membantu yang lain. Salmah menjerit-jerit memanggil sepupunya Fatimah... Salmah dan Fatimah sebaya cuma badan Fatimah agak gempal berbanding dengan Salmah. Mereka bermain tanpa memperdulikan keadaan riuh-rendah di dapur. Selepas Isyak, rumah Pak Anjang dipenuhi penduduk kampung. Gulai nangka ikan masin dan ikan keli masak merah yang dihidangkan membuka selera mereka yang datang. Mereka makan sambil bersembang. Salmah dan Fatimah masih leka bermain. Mereka dipanggil berulang-kali tetapi mereka tidak mengendahkan. Bermain menyebabkan mereka tidak merasa lapar walau sedikitpun.
Malam itu malam Jumaat dan kebetulan suasana malam gelap gelita tanpa sebijipun bintang menghiasi dada langit. Ketika melalui jalan sempit dicelah-celah semak samun, pepohon getah dan pisang... sesekali kedengaran bunyi burung hantu dan cengkerik. Suasana malam itu terasa lain macam... kedinginan mula menggigit tulang. Salmah duduk di palang hadapan manakala ibunya duduk dibelakang sambil memegang mangkuk tingkat yang berisi gulai nangka dan ikan keli masak merah. Lampu basikal ayah Salmah tidak mampu menerangi jalan yang berlopak-lopak. Ayah Salmah tiba-tiba berhenti. Dia mengeluarkan lampu picit yang dimasukkannya ke dalam sebuah beg buruk yang disangkutkan pada handle basikalnya. Ayah Salmah menyuluh ke sekeliling.... Sesekali cahaya lampu picit itu terpadam... mungkin kerana ayah Salmah sudah lama tidak menukarkan baterinya.